DUA lelaki anggota kumpulan ‘Geng Daus Botak’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan stor diberkas polis dalam satu operasi di sekitar daerah Melaka Tengah pada 28 Januari lalu.
Tangkapan dibuat kira-kira pukul 5 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hasil maklumat awam dan risikan dijalankan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dan tangkapan mereka menyelesaikan tujuh kes pecah rumah dilaporkan di daerah itu.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah itu dan pelbagai peralatan pecah rumah.
“Beberapa barangan disyaki hasil jenayah seperti jam tangan, komputer riba, tablet, piano, telefon bimbit dan beg tangan turut dirampas daripada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda,” katanya.
Christopher berkata, kedua-dua suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut.


