SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka telah menahan reman dua orang anggota polis disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan individu yang terlibat dalam kes narkotik.
Perintah reman selama enam hari sehingga 16 Februari 2026 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Melaka 4, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika menghadiri proses kawad cam di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 5 Januari lalu di Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Melaka.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah itu secara tunai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.


