ANGKA pendaftaran lewat kelahiran di Malaysia menunjukkan trend penurunan sejak tahun 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 10,234 kes direkodkan pada 2025 berbanding 12,316 kes pada 2024.
“Bagi tahun 2023, sebanyak 13,466 kes direkodkan, manakala pada tahun 2022, jumlahnya adalah 12,428 kes. Purata kes adalah lebih kurang 1,000 kes setiap bulan.
“Kita akan terus berusaha melalui pelbagai program bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada lima beradik berusia 4 hingga 11 tahun di Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Saifuddin, isu pendaftaran lewat seharusnya tidak lagi berlaku kerana kerajaan telah menyediakan 211 pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara serta perkhidmatan Pasukan MEKAR bagi memudahkan urusan rakyat.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik bagi membantu mengenal pasti kes daftar lewat kelahiran dalam komuniti.
“Sekiranya terdapat insiden dalam kalangan masyarakat yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri akibat pendaftaran lewat, segeralah berbuat demikian,” ujarnya.
Tambah beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN sentiasa komited membantu rakyat yang berdepan isu dokumentasi agar mereka tidak terpinggir.


