SEBANYAK 89 kesan tikaman serta luka ditemukan pada badan seorang wanita yang maut dibunuh suaminya dalam kejadian di SPK Damansara, Kepong di ibu negara pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat 89 kecederaan di seluruh badan.
“Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan tikaman pada bahagian leher yang menyebabkan kecederaan parah sehingga mengakibatkan kematian.
“Terdapat juga luka mempertahankan diri pada kedua-dua belah tangan mangsa wanita,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Fadil, hasil pemeriksaan mendapati lelaki iaitu suami mangsa mengalami 10 kecederaan luaran selain tiga luka dalaman pada bahagian leher.
“Mayat kedua-dua individu akan dituntut oleh waris untuk proses pengebumian. Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu itu, seorang lelaki bertindak menikam isterinya sebelum dipercayai membunuh diri dalam satu kejadian tragis di sebuah kediaman di Jalan Daun Inai 4 Sunway SPK, Damansara Kepong.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan seorang lelaki berusia 54 tahun dan wanita berusia 52 tahun terbaring berlumuran darah di atas lantai.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.


