SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran naratif palsu serta berunsur isu agama, raja dan kaum (3R) di media sosial berhubung insiden kemalangan yang tular di Selangor.
Insiden berkenaan didakwa dimanipulasi sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya merujuk kepada kenyataan Polis Selangor yang mengesahkan insiden berkenaan berpunca daripada perselisihan faham peribadi berkaitan isu tanah dan laluan, serta tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman.
“Analisis MCMC mengesan elemen tingkah laku tidak autentik secara terselaras (CIB) apabila kandungan sama disebarkan berulang kali di Facebook dan TikTok dalam tempoh singkat bagi memanipulasi persepsi awam.
“Naratif sensasi dan pelabelan berunsur perkauman yang ditokok tambah adalah serius dan berpotensi mengancam ketenteraman awam. Setakat ini, 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok sedang diteliti bagi membantu siasatan,” kata kenyataan MCMC yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau yang menghasut kebencian.
Tegas MCMC, Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melarang penyebaran atau penerbitan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta 588 sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang,” tambah kenyataan itu.


