DUA mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini, atas pertuduhan menyeludup tiga migran warga Myanmar dan China di Kampung Tujuh, Tumpat, bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap kedua-dua tertuduh, Mohd Fairul Mu’min Abd Rahim, 45, dan Mohd Azman Ismail, 40, selepas pertuduhan dibacakan Hakim Zulkpli Abdullah, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan terhadap tiga migran warga China dan seorang migran warga Myanmar di Kampung Tujuh, Tumpat jam 5.05 petang pada 21 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kes berkenaan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan sebagai tarikh semula kes pada 9 April ini.


