Briged Tengah PGA tahan 22 warga asing dalam Op Taring Delta

BRIGED Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan sempadan Negeri Sembilan selepas menahan 22 warga Indonesia dalam satu operasi di Seremban, awal pagi semalam.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Op Taring Delta kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, kesemua 22 tangkapan warga Indonesia itu terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita, manakala empat lagi lelaki ialah tekong laut.

“Turut dirampas dalam operasi ini adalah dua kenderaan jenis Honda City dan Volkswagen Tiguan selain enam unit telefon bimbit yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran terbabit.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM239,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakemal berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menegaskan, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Briged Tengah PGA merekodkan 39 serbuan bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Februari tahun ini di kawasan tanggungjawab meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Hasilnya, seramai 161 individu ditangkap dengan rampasan mencecah RM8 juta,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak polis menyeru kerjasama masyarakat untuk menjadi barisan hadapan dalam menyalurkan maklumat sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img