BRIGED Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terlibat kegiatan menyeludup haiwan ternakan menggunakan laluan tikus menerusi Ops Taring Kandang di Jalan Baling-Gerik di Gerik, Perak hari ini.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan ketika cuba memindahkan lembu dan kambing tanpa sebarang permit atau dokumen kebenaran bertulis yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Dalam pemeriksaan lanjut ke atas dua lori yang ditahan menemukan sejumlah 117 ekor kambing dan 18 ekor lembu dipercayai diseludup dari negara jiran melalui jalan tikus di sempadan negara.
“Kesemua rampasan termasuk kedua-dua kenderaan dianggarkan RM686,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer Singh memberitahu, pemandu dan kelindan lori menggunakan modus operandi dengan menutup bahagian belakang lori dengan kain kanvas dan hanya membuka sedikit ruang pada bahagian atas lori untuk pengudaraan bagi haiwan berkenaan.
Beliau berkata, sindiket penyeludupan itu dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada JPV Perak untuk tindakan lanjut, katanya.


