SEBANYAK 9,666 program Kempen Internet Selamat dilaksanakan di seluruh negara sepanjang 2025 sebagai satu usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meningkatkan kesedaran penggunaan digital secara selamat dan berhemah.
Dalam kenyataan MCMC berkata kempen itu merupakan pengisian utama Hari Bersama Komuniti anjuran suruhanjaya itu dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Kata kenyataan itu, program tersebut adalah usaha berterusan MCMC bagi melindungi pengguna digital dalam kalangan komuniti setempat terutamanya golongan kanak-kanak.
“Hari Bersama Komuniti turut membawakan pelbagai pengisian Perkhidmatan Pintar NADI termasuk e-Sukan, Tuisyen DiLea, NADI Mahir Baiki Gajet, saringan kesihatan serta pameran dan jualan oleh usahawan NADI.
“Terdapat juga pameran dan perkhidmatan agensi seperti Kaunter eKasih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, serta Kempen Elektrik Selamat oleh Tenaga Nasional Berhad,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hadir ke program Hari Bersama Komuniti dengan kerjasama NADI Taman Desa Belantik, Johor Bahru.
Kata kenyataan tersebut, hingga Disember 2025, Perkhidmatan Pintar NADI merekodkan 1.4 juta penyertaan di seluruh negara, sekali gus mencerminkan sambutan positif dan keperluan berterusan komuniti terhadap pembangunan kemahiran digital serta sosioekonomi.
Penganjuran program ini mencerminkan peranan NADI sebagai pusat sehenti komuniti yang bukan sahaja menyediakan akses Internet secara kolektif, malah berfungsi sebagai platform memperkasakan komuniti melalui pembangunan kemahiran digital, keusahawanan dan penyebaran inisiatif kerajaan.


