Tiga lelaki ditahan bantu siasatan sebar video, komen unsur hasutan, ugutan jenayah

POLIS  menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan tiga kes berasingan melibatkan penyebaran video dan komen di media sosial yang mengandungi unsur hasutan serta ugutan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan kes dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman antara 8 hingga 12 Sept susulan laporan diterima.

Beliau berkata kes pertama pada 8 Sept melibatkan suspek 35 tahun memuat naik komen berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan ugutan jenayah terhadap pemimpin negara melalui akaun Facebook ‘Jibbie Sahaq’.

“Kes kedua pada 11 Sept melibatkan lelaki 69 tahun ditahan selepas menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah dalam satu insiden di Kampung Sungai Baru di sini.

“Kes ketiga juga pada 11 Sept melibatkan lelaki 27 tahun memuat naik komen berunsur ugutan jenayah terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam melalui akaun Facebook Ayien Rose,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut  Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 507 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menegaskan polis tidak berkompromi terhadap individu menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan negara.

“Orang ramai dinasihatkan lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan menghormati undang-undang,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img