Tim sepak takraw kurang upaya boleh rujuk PSM jika mahu ke Turkiye – Presiden MPM

PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin menegaskan pihaknya tidak akan menghantar sebuah pasukan sepak takraw berubah suai (adaptif) negara ke Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia 2025 di Mersin, Turkiye pada 18 hingga 25 Oktober ini.

Katanya, setakat ini tiada sebuah persatuan sepak takraw kurang upaya kebangsaan yang menjadi ahli gabungan MPM malah beliau kurang pasti sama ada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut mempunyai pemain-pemain berkenaan.

Namun Shahriman mengalu-alukan sekiranya terdapat kumpulan pemain sepak takraw kurang upaya secara persendirian yang mahu menyertainya asalkan mematuhi prosedur yang ditetapkan selain disarankan agar berbincang dengan PSM.

“Saya pernah didekati Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader kira-kira dua tahun lalu, yang mengesyorkan penubuhan pasukan sepak takraw tersebut.

“Namun bagi ke Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia di Turkiye yang khabarnya mempertandingkan tiga acara sepak takraw itu (lengan, campuran 1 dan kuadran campuran 2), MPM berasa belum bersedia untuk menghantar pasukannya.

“MPM pun tidak pasti klasifikasi kurang upaya sebenar yang ditetapkan oleh penganjur temasya itu (World Abilitysport – WAS). Kami tidak mahu main hantar sebarangan atau cacamarba sampai memalukan Malaysia pula,” katanya ketika ditemui.

Sepak takraw, sukan warisan Melayu, mendapat penghormatan malah bersejarah apabila menyertai edisi sulung Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia 2025 dengan venuenya di Taman Budaya Mersin serta berformat liga sepusingan dan perlawanan akhir.

Difahamkan Persatuan Sukan Thailand Bagi Orang Kurang Upaya Thailand (SPADT) telah memperkenalkan draf klasifikasi pemain kurang upayanya seperti TKR1 iaitu kaki kudung sebelah di atas lutut dan memakai sebelah kaki prostetik/palsu atau menggunakan peralatan untuk membantu imbangan.

TKR2 pula ialah kaki kudung sebelah di bawah lutut, memakai satu kaki prostetik atau menggunakan peralatan untuk membantu imbangan, otot kaki yang lemah/kecil – atrofi dan polio dan panjang kaki tidak seimbang (lebih lima sentimeter).

Kategori TKR3 bererti kecatatan lengan sejak lahir anomali, kudung satu lengan di bawah siku, kekejangan otot dan pergelangan tangan dan otot lengan lemah dan lengan atrofi bergabung dengan polio.

Tiga acara sepak takraw berubah suai terdiri daripada:
i- Lengan (arm) – ketiga-tiga pemain cacat sebelah lengan;

ii- Campuran 1 (mixed 1) – seorang pemain yang mempunyai sebelah kaki cacat dan dua pemain yang mempunyai sebelah lengan cacat;

iii- Kuadran (berempat) campuran 2 (mixed 2 quadrant) – dua pemain yang mempunyai sebelah kaki cacat dan dua pemain yang mempunyai sebelah lengan cacat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img