KARNIVAL Prasekolahku Berhak Hebat Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung meriah, semalam di Janda Baik Bentong, diharap mampu melahirkan generasi muda negeri ini yang hebat, berkeyakinan, kreatif dan berdaya saing pada masa hadapan seiring aspirasi pendidikan negara.
Ia juga boleh dijadikan landasan untuk memperkasakan jalinan kerjasama sekolah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Karnival itu dianjurkan di bawah Inisiatif Transformasi Pendidikan Pahang yang bertumpu kepada Pemerkasaan Potensi dan Bakat Murid, Pemacu Transformasi Pendidikan dan Peneraju Transformasi Pendidikan.
Majlis yang dirasmikan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md. Isa itu merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dengan kerjasama Genting Malaysia Bhd. di bawah aktiviti CSR “Genting Bersama Malaysia”.

Zamri berkata, inisiatif sebegini membuktikan bahawa sektor korporat juga memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam pemerkasaan pendidikan.
“Sokongan Genting Malaysia amat bermakna kerana langkahnya memperlihatkan kesungguhan untuk bersama-sama membina generasi masa depan. Hal ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pembangunan insan,” katanya.
Karnival itu juga bertujuan menyokong usaha pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Pahang, murid prasekolah selain itu berpeluang mempamerkan bakat, kreativiti dan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti seni, sukan dan komunikasi.

Seramai 173 murid prasekolah dari 11 daerah di Pahang bersama guru pengiring, pegawai pendidikan dan komuniti seluruh negeri itu memeriahkan karnival berkenaan.
Enam pertandingan bersempena karnival diadakan iaitu ‘Fantasi Si Cilik’, ‘Mutiara Hadis’, ‘Pentas Boneka’, ‘Smart Digital’, ‘Tarian Lagu Rakyat’ dan ‘Pakaian Beragam’ serta ‘Mewarna Bertemakan Percutian Impian Saya’ .
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, sumbangan makanan, minuman, hadiah dan sijil penyertaan para peserta oleh Genting Malaysia mencerminkan komitmen dalam mendukung perkembangan bakat generasi muda.


