MAYAT seorang lelaki ditemukan dengan kesan tusukan objek di bahagian dada kiri di tepi Jalan Lama Lojing, Pos Brooke, di Gua Musang awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintenden Azlan Che Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan penemuan mayat itu pada jam 4.35 pagi.
Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an namun identitinya belum dipastikan.
“Mayat ditemukan dalam keadaan terbaring tidak bernyawa dengan kesan tusukan objek di bahagian dada kiri. Proses bedah siasat mayat dilakukan di Unit Forensik Hospital Gua Musang.
“Kes diklasifikasikan sebagai Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.


