WISMA Putra memulakan libat urus peringkat tertinggi dengan syarikat penerbangan komersial bagi mempercepat pengaturan penerbangan jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi.
Susulan gangguan ruang udara serantau yang lebih meluas, tumpuan operasi Kementerian Luar (KLN) kini tertumpu kepada pengurusan pembatalan penerbangan komersial yang menjejaskan jemaah Malaysia di negara berkenaan.
“Di Arab Saudi, walaupun situasi keselamatan keseluruhan dan ruang udara kekal stabil serta beroperasi, sejumlah besar jemaah Malaysia serta sekumpulan pelajar transit sedang mengalami kelewatan perjalanan akibat penggantungan beberapa penerbangan komersial. Semua individu terbabit adalah selamat.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedang bekerjasama rapat dengan Tabung Haji (TH) serta agensi pelancongan umrah dan haji bagi memastikan penginapan, makanan dan kebajikan jemaah terus terjamin.
“Pihak Konsulat turut menyelaras pengaturan sementara dan membantu pelajar transit mengikut keperluan,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan hari ni.
Rentetan konflik menimpa Asia Barat, Wisma Putra terus memantau perkembangan di rantau berkenaan dengan mengekalkan penyelarasan rapat antara Perwakilan Diplomatik Malaysia.
Buat masa ini, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak mustahak ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.
Berdasarkan nasihat perjalanan untuk warganegara Malaysia yang dikeluarkan semalam, Wisma Putra memaklumkan ia kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
“Di negara-negara terjejas lain termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar, Kuwait, Jordan, Syria dan Cyprus, situasi keselamatan keseluruhan kekal stabil walaupun terdapat insiden keselamatan udara yang terpencil di kawasan tertentu.
“Tiada rakyat Malaysia yang tercedera dan semua warganegara yang dihubungi kekal selamat. Perwakilan Malaysia terus menyalurkan bantuan konsular termasuk penyelarasan penginapan sementara dan urusan perjalanan,” maklumnya lagi.
Berkenaan situasi di Azerbaijan, Wisma Putra memaklumkan setakat semalam, Kedutaan Besar Malaysia di Baku sudah meningkatkan tahap pemantauan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan pelarasan penerbangan susulan perkembangan ruang udara serantau.
Walaupun ruang udara negara terbabit terus beroperasi seperti biasa dan situasi keselamatan keseluruhan kekal stabil, pihak kedutaan Malaysia di sana sudah mengeluarkan panduan perjalanan secara pencegahan.
“Ia supaya rakyat Malaysia menyemak perancangan perjalanan dan berhubung dengan syarikat penerbangan masing-masing,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga berdasarkan nasihat kerajaan tuan rumah, Wisma Putra memaklumkan beberapa Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan sedang melaksanakan pengaturan kerja jarak jauh.
Bagaimanapun, semua perkhidmatan konsular kekal beroperasi dan bantuan kepada rakyat Malaysia diteruskan tanpa gangguan.
“Bilik Operasi KLN di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan berfungsi sebagai pusat penyelarasan semua usaha konsular,” jelasnya lagi.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas digalakkan untuk mendaftar keberadaan mereka melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan.
Bagi bantuan konsular kecemasan, warganegara Malaysia yang tidak dapat menghubungi Perwakilan Malaysia boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian secara terus di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.


