283 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah berikutan penangguhan penerbangan

JEMAAH umrah dari negara ini berada dalam keadaan tidak menentu apabila penerbangan hari ini ditangguhkan sehingga diberitahu kelak susulan serangan terbaharu oleh Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran di rantau Asia Barat.

Seramai 283 jemaah di bawah Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd akan kekal berada di Jeddah sehingga makluman lanjut memandangkan penerbangan mereka yang dijadualkan berlepas dari Jeddah ke Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan.

Ahli Lembaga Pengarah Andalusia yang menyelia pemasaran, jualan, data dan acara, Izzati Ibrahim berkata, kumpulan jemaah bagi 18 Februari hingga 1 Mac yang menaiki Malaysia Airlines dijadualkan berlepas dari Jeddah pada jam 7 malam hari ini juga ditangguhkan sementara menunggu arahan lanjut daripada syarikat penerbangan berkenaan.

“Semua 283 jemaah akan terus menginap di hotel Andalusia di Makkah,” katanya berdasarkan maklumat terkini malam tadi, lapor NST.

Menurut Izzati, semua tempahan penerbangan Qatar Airways, Air Arabia dan Etihad Airways juga ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, termasuk semua penerbangan Emirates melalui Karachi.

Selain itu, penerbangan bagi 85 jemaah umrah di bawah syarikat sama yang dijadualkan berlepas hari ini dari Kuala Lumpur ke Jeddah turut ditangguhkan.

Bagaimanapun, penerbangan Saudia yang ditempah dilapor akan beroperasi seperti biasa buat masa ini.

Izzati berkata, terdapat dua lagi jemaah umrah di bawah syarikat itu yang penerbangan pulang ke Malaysia ditangguhkan dan mereka kini berada dalam keadaan selamat di Jeddah.

Situasi itu berlaku selepas siri serangan udara di Asia Barat yang dimulakan oleh AS dan Israel semalam terhadap sasaran di Iran, sekali gus mencetuskan tindak balas segera oleh republik Islam itu dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Israel.

Iran turut menyerang lokasi yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan AS di Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Beberapa media rasmi Iran hari ini mengesahkan Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran telah terbunuh dalam serangan.

Al Jazeera melaporkan letupan turut kedengaran di Riyadh, Arab Saudi dan pangkalan AS juga dilaporkan diserang di Jordan.

Pihak berkuasa penerbangan awam Qatar memaklumkan ruang udara negara Teluk itu ditutup buat sementara waktu, manakala Iraq menutup ruang udaranya dan Syria menutup sebahagian ruang udara selama 12 jam.

Rusia turut membatalkan penerbangan komersial ke Iran dan Israel sehingga diberitahu kelak.

Air France membatalkan penerbangan ke Tel Aviv dan Beirut, manakala Lufthansa dan Turkish Airlines adalah antara beberapa syarikat penerbangan yang menggantung penerbangan ke rantau berkenaan.

Israel turut menutup pintu sempadan Rafah di Gaza dengan Mesir pada Sabtu sebagai langkah keselamatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img