JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menahan seorang wanita tempatan yang cuba menyeludup keluar empat ekor siamang dengan menyumbat haiwan itu dalam bekas kecil.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek ditahan kira-kira jam 10.50 malam tadi hasil pemeriksaan terhadap bagasi mencurigakan di KLIA Terminal 1.
Beliau berkata, bagasi berkenaan adalah milik seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang dijadual menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tiruchirapally, India.
“Pemeriksaan dijalankan oleh anggota Perhilitan bersama pasukan keselamatan lapangan terbang (AVSEC) yang kemudian menemukan empat ekor primat disyaki siamang disorokkan di dalam bagasi itu.
“Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat Perhilitan KLIA untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi itu diketuai Pegawai Penguat Kuasa Safardin Amin Ahmad bersama dua anggota Perhilitan serta tiga anggota AVSEC.
Abdul Kadir berkata, satu laporan polis dibuat di Balai Polis KLIA 2 bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
“Siamang adalah spesies hidupan liar yang dilindungi dan sebarang aktiviti menangkap, memiliki, menjual atau mengeksport tanpa permit sah adalah satu kesalahan serius.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda yang tinggi serta hukuman penjara,” tegasnya.


