POLIS Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai bernilai RM1.22 juta dalam satu operasi khas di sekitar Subang Jaya, kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan dibuat hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyimpanan serta penjualan arak seludup di sebuah premis kira-kira pukul 6.30 pagi.
“Hasil pemantauan mendapati berlaku aktiviti pemunggahan kotak-kotak disyaki mengandungi minuman keras dari sebuah lori bonded ke dalam premis terbabit sebelum polis bertindak melakukan serbuan segera.
“Dalam operasi itu, dua lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis arak dan rokok tidak bercukai selain dua buah lori bonded yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.
“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan stor simpanan sejak kira-kira lima bulan lalu, dengan bekalan arak seludup itu diedarkan di pasaran sekitar Subang Jaya,” katanya.
Lebih licik, sindiket terbabit turut mencetak label palsu pihak kastam untuk ditampal pada botol arak bagi mengelirukan pembeli dan mengelak tindakan penguatkuasaan.
“Rampasan melibatkan sebanyak 17,972 botol dan 2,796 tin minuman keras pelbagai jenama serta 450 karton rokok dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,009,174.
“Manakala nilai dua buah lori yang dirampas dianggarkan RM214,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1,223,174,” katanya.


