Isu salah guna wang zakat: SPRM telah rakam keterangan 63 individu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah memanggil sebanyak 63 individu untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah dan juga menyalahgunakan dana wang zakat untuk bayaran baki pinjaman perumahan.

Menurut sumber, kesemua individu tersebut telah dipanggil hari ini dan pada masa yang sama SPRM turut mempergiatkan siasatan yang dimulakan pertengahan Januari lalu dengan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah.

Katanya, antara individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri, Mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Penasihat undang-undang, pegawai serta kakitangan Ahli Majlis Agama Islam Negeri.

Pada masa yang sama SPRM Pulau Pinang turut memanggil Ahli Lembaga Zakat, serta pegawai dan kakitangan zakat negeri.

“SPRM telah memanggil kesemua individu secara berperingkat sebaik sahaja kertas siasatan dibuka untuk dirakam keterangan dan siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pegawai kanan kerajaan negeri bersama seorang ahli Majlis Agama Islam Negeri telah menggunakan kedudukan dan jawatan masing-masing untuk mencadangkan serta meluluskan pembelian tiga lot tanah pada harga kira-kira RM10 juta.

“Bagi satu lagi kes yang disiasat, suspek utama bersama Pengurus Besar Agihan Zakat negeri telah menyalahgunakan dana wang zakat melalui Skim Inapan Kasih dan Bantuan Kewangan berjumlah kira-kira RM184,000 untuk bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan zakat negeri,” katanya.

Hujung Januari lalu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Ia susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan negeri hujung tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img