SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang akan memanggil beberapa individu berkaitan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, pihaknya akan merakamkan keterangan individu terbabit dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.
“SPRM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“Kita akan memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat,” katanya selepas mengadakan lawatan di panthel sempena sambutan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga hari ini.
SPRM Pulau Pinang sebelum ini mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun lalu.
Minggu lalu, aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin berkongsi kenyataan seorang penyelaras Peta, Azam Melaka berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri.


