JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengakui kesilapan cawangannya di Sarawak menyebabkan seorang lelaki penulis teknikal, Hafiz Hamid tidak dapat memperbaharui pasportnya selama bertahun-tahun dan menghalangnya ke luar negara.
Dalam surat bertarikh 23 Januari lalu, JIM memaklumkan, semakan Bahagian Keselamatan dan Pasport di Putrajaya mendapati cawangan Sarawak tersilap memasukkan kod sekatan notis amaran Persekutuan yang menyebabkan pembaharuan pasport lelaki dari Subang Jaya, Selangor itu disekat.
Kod itu sepatutnya untuk notis amaran Sarawak, yang akan menghalang Hafiz daripada memasuki Sarawak, tetapi membenarkannya memperbaharui pasport dan ke luar negara.
Masalah Hafiz bermula sejak Mei 2018, apabila beliau dilarang memasuki Sarawak ketika hendak ke Sibu untuk meraikan Pesta Gawai bersama rakan. Pegawai JIM menunjukkan notis menyatakan beliau dalam `senarai suspek’.
Pada 2020, beliau tidak dapat memperbaharui pasportnya selepas tamat tempoh dan dimaklumkan sebabnya akibat `sekatan oleh imigresen Sarawak’.
Surat jabatan itu pada bulan ini susulan surat tuntutan dikeluarkan peguamnya, Shamsher Singh Thind.
Jabatan itu berkata, sekatan Persekutuan telah ditarik balik dan Hafiz kini boleh memperbaharui pasportnya di mana-mana pejabat imigresen, tetapi sekatan ke Sarawak masih aktif.
Menurut Perlembagaan, Sarawak mempunyai kawalan ke atas hal ehwal imigresennya sendiri.
Hafiz berkata, beliau lega akhirnya dapat memperbaharui pasport selepas bertahun-tahun.
“Akhirnya, saya gembira mendapat pasport saya selepas perjuangan selama tujuh tahun,” katanya, lapor FMT.


