IRAN menafikan sekeras-kerasnya terlibat menyerang loji penapis minyak milik Aramco, di Arab Saudi.
Sebaliknya sumber ketenteraan Iran memberitahu, agensi berita Tasnim yang bersekutu dengan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) , walaupun Iran secara terbuka menyatakan akan menyasarkan seluruh kepentingan Amerika Syarikat (AS) dan Israel di Asia Barat namun kemudahan Aramco tidak termasuk dalam senarai tindakan itu.
Sehubungan itu sumber itu menuduh Israel melakukan provokasi bagi membolehkan perang yang tercetus ketika ini merebak.
“Kami tidak mempunyai kepentingan untuk menyerang kemudahan tenaga negara jiran. Itu hanya akan menguntungkan pihak yang mahu mencetuskan konflik serantau,” kata sumber tersebut.
Penafian ini menjadi elemen penting dalam analisis bahawa sabotaj terhadap Aramco mungkin bertujuan untuk memancing tindak balas keras Arab Saudi terhadap Iran.
Ketika ini tercetus isu wujud dakwaan operasi rahsia ejen perisikan Zionis, Mossad memanaskan ketegangan di rantau Teluk.
Pengulas politik Amerika Syarikat, Tucker Carlson, mendakwa bahawa Arab Saudi dan Qatar telah menangkap serta “menahan ejen Mossad Israel yang merancang pengeboman di negara-negara tersebut”.
Dakwaan ini mencetuskan spekulasi serius mengenai kemungkinan wujudnya usaha untuk menyeret Arab Saudi ke dalam perang terbuka antara Israel dan AS menentang Iran.
Carlson ialah seorang pengulas politik konservatif Amerika Syarikat yang pandangan politiknya sering dengan penekanan terhadap kritikan dasar luar AS, isu imigresen, serta dinamika sosial domestik.
Walaupun popular dalam kalangan konservatif, Carlson kerap menimbulkan kontroversi kerana kenyataannya yang lantang, khususnya berkaitan Israel, Iran dan dasar luar AS, sekali gus menjadikannya figura yang berpengaruh namun kontroversial dalam landskap politik dan media AS.
Kenyataan Carlson muncul ketika operasi ketenteraan bersama AS dan Israel terhadap Iran sedang berlangsung. Serangan terbaharu dilaporkan telah mengorbankan ratusan orang awam serta beberapa pegawai kanan Iran.


