JIM tahan 37 warga asing, lumpuh sindiket seludup migran

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 37 warga asing serta melumpuhkan satu sindiket penyeludupan migran dalam tiga operasi berasingan yang dilaksanakan di Subang Jaya, Sepang dan Klang, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 11.06 pagi di sebuah gudang di Subang Jaya, lapan warga China terdiri daripada seorang lelaki dan tujuh wanita ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Siasatan awal mendapati premis itu dijadikan pusat pameran dan penjualan produk kesihatan secara tertutup yang menyasarkan pelancong dari negara sama, dengan anggaran keuntungan antara RM200,000 hingga RM400,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi kedua pada pukul 11.25 pagi di Bandar Sunsuria, Sepang, pihaknya menahan lima lelaki dan seorang wanita warga China kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan bekerja dan menjalankan aktiviti perniagaan di sebuah restoran makanan China.

“Turut ditahan, 16 warganegara Myanmar yang disyaki bekerja tanpa pas yang sah.

“Kesemua 30 individu berusia antara 21 hingga 62 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi khas pada hari sama, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA JIM menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 40 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket membawa masuk migran secara tidak sah.

“Susulan penahanan itu, pasukan operasi menyerbu sebuah bengkel mengecat kenderaan yang dijadikan safe house bagi menyembunyikan migran yang baru tiba dari Pantai Timur melalui laluan darat tidak diwartakan di sempadan Malaysia-Thailand.

“Tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 45 tahun diselamatkan selepas didapati tidak mempunyai rekod kemasukan sah ke negara ini. Tiga lagi lelaki warga Bangladesh berusia antara 34 hingga 38 tahun yang dipercayai ahli sindiket turut ditahan.

“Turut disita, sebuah kenderaan Toyota Wish yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran disita bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Zakaria berkata, kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img