JIM tahan 16 warga asing salah guna pas, sindiket di Johor

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan penyalahgunaan pas dan sindiket manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) secara dalam talian dalam dua operasi khas di Johor pada 2 dan 3 Mac lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang digerakkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Johor itu berjaya menahan 16 warga asing serta seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang sindiket.

Menurutnya, operasi pertama pada 2 Mac di sekitar Taman Setia Tropika, Johor Bahru menahan 11 warga asing terdiri daripada lapan wanita Thailand, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Vietnam.

“Semakan awal mendapati sebahagian daripada mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa selain menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Lawatan Kerja Sementara kategori PRA untuk bekerja sebagai pelayan di premis hiburan.

“Pasukan operasi turut merampas pasport, peralatan rakaman digital, telefon bimbit serta wang tunai RM3,025 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, premis terbabit dipercayai menawarkan khidmat pelayan warga asing dengan bayaran serendah RM250 dan telah beroperasi kira-kira setahun.

Sementara itu, operasi kedua pada 3 Mac di sekitar Batu Pahat, Skudai dan Johor Bahru berjaya menumpaskan sindiket yang menyalahgunakan kemudahan permohonan Sistem Maid Online (SMO).

Dalam operasi tersebut, lima wanita warga asing ditahan terdiri daripada empat warga Vietnam dan seorang warga Indonesia, selain seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket.

“Siasatan mendapati sindiket ini mengemukakan maklumat dan dokumen disyaki palsu untuk mendapatkan kemudahan Pas Lawatan Kerja Sementara kategori PRA bagi individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan.

“Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap individu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 56(1)(k).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img