BALU kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan bersubahat kes rasuah melibatkan kelulusan pelaburan FELCRA berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Zizie Izette, 48, tiba di mahkamah kira-kira pukul 8 pagi dengan memakai sut serba hitam yang mana beliau akan memberi keterangan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Prosiding hari ini adalah kali pertama disebut selepas kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.
Kes terhadap Zizie Izette diteruskan dengan perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah melibatkan RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu susulan kematiannya.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan tersebut selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Hou.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan sebanyak RM100,000 serta pasport milik Bung Moktar dipulangkan.


