Ops Chiller: Polis rampas makanan sejuk beku RM20.88juta

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM20.88 juta serta menahan 21 individu dalam operasi bersepadu Ops Chiller yang dijalankan serentak di tujuh daerah di Sabah kelmarin.

Operasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu diadakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Kunak membabitkan seramai 204 pegawai dan anggota pelbagai agensi.

Komander PGA Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan ayam, daging serta makanan sejuk beku.

Menurutnya, operasi itu turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan keselamatan serta kebersihan makanan.

“Seramai 21 individu berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan dan daripada jumlah itu, seramai 17 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Menurutnya, rampasan meliputi pelbagai barangan makanan sejuk beku termasuk ayam, daging beku dan daging babi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,883,909.85.

Nor Omar berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 13 Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948, Undang-Undang Kecil 1981 serta Peraturan 38(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis mematuhi peraturan ditetapkan.

“Langkah ini juga bagi membanteras penjualan ayam, daging dan makanan sejuk beku yang diragui status halal serta kebersihannya terutama ketika umat Islam melaksanakan ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penjualan makanan sejuk beku meragukan supaya menyalurkannya kepada pihak polis.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img