SELEPAS genap setahun kejadian, Mahkamah Majistret Seremban hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap ibu kepada pemandu Honda Jazz yang mengakibatkan tiga remaja maut dalam kemalangan di Senawang.
Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Farahidayah A Rahman, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Nur Farahidayah sebagai pemilik kenderaan jenis Honda Jazz didakwa membenarkan remaja memandu kenderaan tersebut tanpa lesen memandu yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights, Seremban pada 6 Mac 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Johan Radzi memohon hukuman denda minimum diberikan kepada anak guamnya yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai enam anak dengan empat masih belajar.
Tambahnya, tertuduh adalah tulang belakang utama keluarga dengan pendapatan dalam bidang penyediaan makanan dan minuman (F&B) selain turut menjaga kedua ibu bapanya.
“Pengakuan salah OKS telah menjimatkan masa mahkamah dan ini adalah kesalahan pertamanya. Dia juga memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan dilakukan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainuddin memohon hukuman maksimum, mengambil kira keseriusan kes yang menyebabkan kematian tiga individu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya wanita terbabit gagal membayar denda berkenaan.
Hari ini genap setahun kejadian pemandu remaja lelaki yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah sehingga melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, manakala seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar pada 10 Mac tahun lalu.


