SEORANG pelajar perempuan yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai tertidur di Jalan Merotai, dekat Tawau petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang mengakibatkan mangsa, Mauluddiyana Maroyali, 18, yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tawau meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau pada jam 4.08 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian, mangsa membonceng motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang adiknya, Ahmad Ramadhan Aziq, 17, pelajar Kolej Vokasional dalam perjalanan dari Kampung Manggaris, Merotai menuju ke pusat bandar.
Menurutnya, sebuah Proton Wira dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun sedang bergerak dari arah bandar Tawau menuju ke Felda Umas.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai tertidur sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian melanggar motosikal dinaiki dua beradik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, akibat perlanggaran itu kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 4.08 pagi sementara adiknya masih menerima rawatan di hospital, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
“Susulan itu, pemandu Proton Wira ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian,” katanya.


