Seorang maut, tiga cedera bas ekspres rempuh pikap di simpang lampu isyarat

SEORANG penumpang maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah pikap yang berhenti di simpang lampu isyarat dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 14, Jalan Pekan – Kuantan dekat Kampung Tanah Putih, di Pekan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.15 pagi ketika dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Pekan ke Kuantan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pemandu pikap berkenaan memberhentikan kenderaan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Katanya, ketika itu sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Johor ke Kelantan dipandu lelaki berusia 56 tahun tidak memberhentikan kenderaan di persimpangan itu lalu merempuh belakang pikap terbabit.

Berikutan itu, Zaidi berkata, penumpang belakang pikap tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu dan penumpang depan pikap serta seorang penumpang bas dilaporkan cedera.

“Pemandu bas serta 24 penumpang lain termasuk pemandu simpanan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidi memberitahu, penumpang pikap yang maut dalam kemalangan itu ialah seorang warga Thailand, Hosneeamree, 24.

Menurutnya, pemandu pikap terbabit seorang anggota tentera berusia 29 tahun dan penumpang berusia 36 tahun berasal dari Bachok, Kelantan serta seorang penumpang bas yang cedera dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan.

Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img