SEORANG pengetua sekolah menengah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 18, Jalan Kudat – Kota Kinabalu berhampiran simpang RTM Sikuati, di Kudat petang ini.
Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, Ahmad Mehdunah, 60, pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tidak sedarkan diri sebaik kenderaan dipandunya itu terbabas di dalam parit di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang dipandu mangsa dari arah Kota Kinabalu menghala ke Kudat.
Beliau berkata, saksi kejadian memaklumkan kenderaan mangsa dilihat bergerak perlahan secara tiba-tiba sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan.
“Kenderaan berkenaan kemudian masuk ke dalam parit sebelum melanggar sebatang tiang elektrik di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal luaran dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya, lapor Harian Metro.
Mohd Haris berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kudat oleh bedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta saksi kejadian yang menyaksikan kemalangan berkenaan tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.


