SEORANG penunggang motosikal berkuasa besar jenis Ducati Monster 795 maut selepas kenderaan ditunggangnya itu merempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu hari ini.
Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Anuar Hashim, 34, gagal mengelak kenderaan pacuan empat roda yang keluar dari simpang kiri jalan.

Difahamkan pacuan empat roda jenis Nissan Navara itu dipandu wanita berusia 51 tahun dari arah rumahnya di Setiu menghala ke kedai plastik di Wakaf Tembesu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa pula ketika itu dari arah rumahnya di Teluk Pasu menghala ke tempat kerjanya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Berikutan kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Azli, mayat mangsa di bawah ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


