POLIS berjaya mengesan dua saksi baharu berhubung kes tembak dan langgar di Jalan Keretapi Lama, Kapar, Klang Utara, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, setakat ini lima saksi yang berada di lokasi kejadian sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, polis masih giat melakukan siasatan menyeluruh terutama mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Ada dua saksi baharu yang berjaya dikesan, namun tiada tangkapan terbaharu setakat ini,” katanya ketika dihubungi menurut Harian Metro, hari ini.
Semalam media melaporkan, kejadian kes tembak dan langgar di Jalan Keretapi Lama itu yang menyebabkan kematian seorang daripada dua suspek, disyaki akibat salah faham.
Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membolehkan polis mengenal pasti sekiranya ada motif lain.
Seorang lagi suspek bermotosikal yang dirempuh kenderaan pacuan empat roda kini dalam keadaan stabil di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Kejadian itu dilapor berlaku ketika kedua-dua suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15, dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja di Kampung Perepat, Kapar.
Pada masa sama, seorang pemandu kenderaan yang juga majikan kepada lelaki yang disasarkan dua suspek, mengejar motosikal ditunggang mereka hingga ke Jalan Keretapi Lama.
Apabila salah seorang suspek mengacukan objek menyerupai pistol, pemandu pacuan empat roda melanggarnya sehingga mengakibatkan kedua-dua suspek terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, berdasarkan semakan, suspek yang meninggal dunia mempunyai 23 rekod membabitkan pelbagai jenayah berat termasuk kes bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan.
Rakannya pula mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan berstatus orang dikehendaki mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Polis turut menahan lelaki berusia 49 tahun yang melanggar kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut, selain semakan mendapati dia juga memiliki rekod berkaitan dadah dan jenayah.


