KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) baru-baru ini melancarkan Kempen Hindari Plastik Sekali Guna Sempena Prapelancaran Inisiatif Bumi Sihat yang bertemakan `Bijak Plastik, Selamat Bumi’, bagi menjadikan amalan hijau sebagai budaya seharian, bermula dari rumah hingga ke kawasan awam.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kempen ini menyokong agenda nasional iaitu tiada lagi penggunaan beg plastik jinjit sekali guna mulai 1 Januari lalu secara berfasa mengikut ketersediaan negeri-negeri sekali gus mengurangkan pencemaran sisa plastik yang kini merupakan sisa kedua tertinggi selepas sisa makanan.
Menurut beliau, penekanan diberikan kepada aspek pengurangan sisa plastik serta menerapkan pendekatan ekonomi kitaran dan kitar semula di Malaysia.
“Inisiatif ‘Bumi Sihat’ turut diperkenalkan dengan berteraskan dua tonggak utama iaitu Bersih dan Lestari.
“Tonggak ‘Bersih’ menekankan penjagaan khazanah alam seperti sungai dan hutan daripada pencemaran, manakala ‘Lestari’ memfokuskan kepada pembinaan daya tahan alam untuk dinikmati generasi akan datang,” katanya ketika melancarkan kempen tersebut di Pasar Tamu Sook, Pensiangan, Sabah.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES, Datuk Nor Yahati Awang.
Menurut Arthur, kempen ini akan diperhebatkan dengan aktiviti turun padang oleh Skuad NRES Lestari ke lima zon di lokasi tumpuan orang ramai bagi menggalakkan penggunaan beg guna semula dalam kalangan masyarakat.
Skuad NRES Lestari merupakan ejen perubahan yang terdiri daripada warga NRES, rakan strategik dan komuniti untuk menyebarluaskan agenda kempen selain mempromosikan kempen-kempen lain di bawah NRES.
Kempen Hindari Plastik Sekali Guna merupakan antara KPI 100 Hari Menteri untuk memperkasa agenda kelestarian alam negara.
Pada program ini juga, Arthur turut menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada 36 buah masjid dan surau di kawasan Parlimen Pensiangan.
Sumbangan ini diharapkan dapat membantu masjid dan surau untuk melaksanakan program pengimarahan masjid sepanjang tahun 2026.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 200 penduduk kurang berkemampuan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.


