Remaja 19 tahun hilang ketika berkonvoi bersama keluarga ke Cameron Highlands

SEORANG remaja lelaki yang dalam perjalanan bercuti ke Cameron Highlands bersama keluarga sempat berkongsi lokasi secara langsung (live location) kepada keluarganya beberapa minit sebelum memadamkan maklumat itu.

Bapa kepada remaja lelaki berkenaan, Ahmad Azhar Mohd Yusof, 59, berkata, anaknya, Ahmad Azreeq Zafreen, 19, kemudian gagal dikesan sejak kejadian Khamis lalu itu.

Menurutnya, ketika kejadian mereka tujuh sekeluarga dari Kampung Batin, Seberang Takir, Terengganu dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

Katanya, Ahmad Azreeq menunggang motosikal jenis Yamaha R15 manakala ahli keluarga lain menaiki sebuah kereta.

“Kali terakhir kami bertemu ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana, Setiu. Selepas itu saya bergerak dahulu bersama keluarga untuk meneruskan perjalanan.

“Kira-kira jam 12.30 tengah malam, kami berhenti makan di Kampung Anak Ikan, Besut dan menghubungi Azreeq supaya berhenti di kedai makan yang sama, namun dia tidak muncul,” katanya.

Ahmad Azhar menambah, selepas selesai makan dan Azreeq masih belum tiba, mereka meneruskan perjalanan ke Gua Musang, Kelantan dengan andaian remaja itu akan menyusul dari belakang.

“Sepanjang perjalanan, isteri saya cuba menghubunginya tetapi panggilan tidak dijawab. Kami menyangka mungkin telefon bimbitnya kehabisan bateri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim mengesahkan remaja terbabit kali terakhir dikesan singgah di sebuah stesen minyak di Beting Lintang pada awal pagi Jumaat lalu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Polis telah membuka kertas siasatan orang hilang selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa pada petang Jumaat dan sedang giat mengesan keberadaan mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Besut atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Ahmad Azhar berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan anaknya dapat tampil membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, selain mendoakan agar Ahmad Azreeq ditemukan dalam keadaan selamat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img