PEGUAM utama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, semua pertuduhan jenayah terhadap anak guamnya adalah kabur dan dibuat dengan niat tidak baik ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula hari ini.
Datuk Hisyam Teh Pok Teik berkata, tiada butiran terperinci mengenai bagaimana kesalahan itu dilakukan dinyatakan dalam pertuduhan.
Tanpa butiran tersebut, katanya, ia menjejaskan keupayaan Muhyiddin untuk menyediakan hujah pembelaan terhadap pertuduhan ke atasnya.
“Saya dengan penuh hormat menghujahkan pagi ini bahawa pertuduhan itu tidak sah di sisi undang-undang kerana tiada butiran mengenai bagaimana tertuduh ‘menggunakan kedudukannya’ seperti yang didakwa dalam pertuduhan.
“Di bawah undang-undang, cara sesuatu kesalahan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh mesti diperincikan oleh pihak pendakwaan.
“Butiran tersebut mesti dinyatakan secara khusus dalam pertuduhan, termasuk langkah-langkah yang diambil oleh tertuduh berkaitan sebarang keputusan atau tindakan.
“Kami dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apakah butiran atau aduan sebenar pihak pendakwaan terhadap tertuduh. Ini menjejaskan kami,” kata Hisyam, lapor Malaysiakini.
Sebagai respons, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, perkara yang dibangkitkan oleh Hisyam sebelum ini telah pun dikemukakan ketika permohonan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan.
“Mereka boleh membangkitkan perkara itu pada akhir kes pendakwaan, jika mahu berbuat demikian,” katanya.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin kemudian memutuskan supaya perbicaraan diteruskan seperti yang dijadualkan.
Mahkamah hari ini mula mendengar perbicaraan kes rasuah Muhyiddin yang akan berusia 79 tahun pada Mei ini, menjadi bekas Perdana Menteri kedua didakwa atas kesalahan jenayah selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa dengan empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pertuduhan itu berkait program Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika dia menjadi Perdana Menteri antara 2020 hingga 2021 bagi mempercepat pelaksanaan projek serta merangsang ekonomi negara semasa pandemik Covid-19.


