PAS hari ini menolak dakwaan bahawa terdapat usaha untuk menyingkirkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) kerana isu itu tidak dibangkitkan dalam pemukiman tertutup parti itu yang bermula Jumaat lalu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaliknya berkata, tiada isu lain dibincangkan dalam pemukiman itu, selain agenda untuk memperkukuhkan Pas dan perpaduan dalam PN.
Penjelasan Ahli Parlimen Marang itu sekali gus menolak spekulasi Pas akan meninggalkan PN.
“Tak betul, tak betul. (Kita) nak meneruskan PN, perpaduan,” katanya selepas menghadiri pemukiman tertutup PAS di sebuah hotel di Bangi hari ini.
Semalam, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad dilaporkan berkata, serangan secara konsisten dari dalam dan luar parti serta parti komponen PN terhadap Presiden Bersatu itu bertujuan memaksa beliau berundur.
Dakwa beliau, ramai sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek `Muhyiddin exit’ berjaya.
Sebuah akhbar pada Khamis lalu yang memetik sumber melaporkan, ketidakhadiran Abdul Hadi dalam pertemuan di kediaman Muhyiddin adalah bayangan parti itu akan meninggalkan gabungan berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, gabungan empat parti komponen dalam PN akan kekal bersatu.
“Kita sudah berkoalisi, mana mungkin kita ketepikan sesiapa. Empat parti dalam PN masih utuh.”
Tegasnya, PN kekal memerintah di empat negeri, termasuk Perlis dan tidak berdepan sebarang masalah dalaman setakat ini.
“Di peringkat negeri pun kita masih PN. Tak ada masalah.”
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, Pas melalui Biro Pemerkasaan Parti merangka pelbagai program bermula awal tahun ini sebagai persiapan berterusan menghadapi landskap politik semasa, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang.


