Lelaki disyaki mabuk buat kecoh dalam kedai serbaneka

SEORANG lelaki dipercayai mabuk bertindak menimbulkan kekecohan di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya petang semalam.

Suspek dikatakan bertindak mengganggu seorang pekerja di kedai serbaneka terbabit sehingga berlaku pergaduhan antara kedua-dua individu itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 3.26 petang.

“Laporan dibuat oleh mangsa yang mendakwa suspek memasuki premis berkenaan dalam keadaan mabuk sebelum mengganggunya.

“Pergaduhan kemudiannya berlaku antara kedua-dua individu di dalam premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsudin, polis turut mengesan satu video berkaitan insiden tersebut yang tular dalam media sosial.

“Permohonan arahan untuk meneruskan siasatan akan dibuat bagi tujuan tindakan lanjut.

“Suspek serta saksi yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial selain tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar berhubung insiden ini.

“Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Shahiren Ibrahim di talian 019-569 3864 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img