KONTRAK perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka tidak akan dilanjutkan selepas ia tamat pada 12 Mei depan.
Menurut saluran berita Singapura, The Straits Times, laporan itu memetik sumber peringkat tinggi tanpa nama yang mengatakan bahawa keputusan itu dibuat susulan dakwaan rasuah terhadap Azam.
Untuk rekod, tempoh perkhidmatan Azam telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini.
Di tengah-tengah kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk daripada anaknya yang juga Timbalannya dalam PKR, Nurul Izzah, Anwar mempertahankan keputusannya dengan mengatakan Azam telah menunjukkan `keberanian luar biasa’ dalam menangani rasuah peringkat tinggi.
Laporan yang disiarkan hari ini itu mendakwa bahawa sumber kerajaan dan undang-undang menunjukkan tempoh perkhidmatan Azam tidak akan dilanjutkan, kerana kerajaan menghadapi tekanan.
“Perdana Menteri telah berulang kali menekankan kepada Kabinet dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa tempoh perkhidmatan Azam tidak akan diperbaharui,” kata laporan itu yang memetik seorang pegawai yang tidak dinamakan.
Setakat ini, SPRM belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan tersebut.


