SEORANG bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam sebuah tong sampah di kawasan pangsapuri di Plentong, Masai di Johor Bahru pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, penemuan bayi itu dilaporkan penduduk setempat kepada polis pada jam 8.45 pagi.
Menurut beliau, bayi perempuan berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian serta dibungkus menggunakan beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bayi tersebut cukup sifat dan masih bernyawa.
“Keadaan bayi itu turut disahkan oleh pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, bayi berkenaan sudah dibawa ke HSI untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja meninggalkan kanak-kanak dengan niat hendak membuang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Hanis Mohamad Nafipi di talian 018-771 8919 atau menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-386 4222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.


