DBKL larang jual air balang, lokcing di Jalan TAR

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan Permit Harian Penjaja Bergerak di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sepanjang Ramadan, namun tidak membenarkan penjualan air balang dan lokcing di kawasan tersebut.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu dilaksanakan sebagai penyelesaian menang-menang bagi membolehkan penjaja mencari rezeki.

Pada masa sama, katanya, langakah tersebut turut memastikan kawasan Jalan TAR kekal bersih, selamat dan teratur.

“Antara barangan yang dibenarkan adalah air berbekas, air tin, air kotak, makanan atau buah berbungkus, bunga, belon, permainan kanak-kanak dan barangan lain yang bersesuaian.

“DBKL tidak membenarkan penjualan air balang atau air bancuh, steamboat, lokcing dan makanan yang dimasak di lokasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, petugas DBKL turut menyediakan penyelesaian segera di lokasi bagi membolehkan penjaja mendaftar serta mendapatkan permit tanpa proses yang rumit.

“Langkah ini bertujuan mengawal aktiviti penjaja supaya mematuhi undang-undang kecil yang berkuat kuasa, menjaga kebersihan dan kesihatan awam serta mengelakkan halangan kepada lalu lintas dan pejalan kaki.

“Selain itu, ia memberi peluang kepada penjaja kecil menjalankan perniagaan secara sah,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, permit harian tersebut dikeluarkan setiap hari bermula jam 4 petang hingga 9 malam di lokasi BIT Penguatkuasaan DBKL di hadapan Muaz dengan bayaran RM10 sehari dan perlu diperbaharui setiap hari.

“Penjaja yang mendapat permit dibenarkan menjalankan perniagaan antara pukul 6 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img