LELAKI berpakaian menyerupai ikan duyung yang dirakam berjoget di hadapan sebuah gerai menjual air balang di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad lalu telah ditahan di rumahnya di Chetok, Pasir Mas kelmarin.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan menerima bayaran sebanyak RM200 bagi tujuan menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan minuman tersebut.

“Tarian dan aksi itu dikatakan dirakam sehari sebelum Ramadan dan videonya disiarkan pada hari pertama puasa.
“Pihak JHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan) telah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan satu kertas siasatan telah dibuka serta tindakan lanjut telah diambil mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, keterangan telah direkodkan dan lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 19 iaitu lelaki berlagak perempuan dan Seksyen 21 iaitu perbuatan tidak sopan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Ujarnya, selepas proses dokumentasi dan siasatan awal selesai, suspek telah dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarahkan hadir semula pada 8 Jun ini bagi tujuan prosiding seterusnya.
Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri menegaskan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan nilai syariah serta norma masyarakat akan ditangani dengan tegas, berhemah dan mengikut lunas undang-undang.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan peniaga air balang terbabit tidak dikenakan sebarang tindakan kerana perniagaannya berlesen.
“Pada Ahad selepas menerima laporan, kami terus ke lokasi khemah dan memberi notis supaya video tersebut dipadamkan dan ia telah dipadamkan.
“Kami tidak mengenakan kompaun kerana peniaga itu berlesen. Namun kami dimaklumkan peniaga itu hanya membuka jualan pada hari pertama Ramadan dan sehingga hari ini tidak berniaga serta dimaklumkan khemah terbabit kosong,” katanya.
Media kelmarin melaporkan satu video tular seorang lelaki berpakaian seperti duyung sambil berjoget di hadapan sebuah gerai menjual air balang di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Rakaman video berdurasi selama 26 saat itu tular di laman Facebook sejak Ahad sehingga menerima kecaman netizen dengan menyifatkan perbuatan itu memalukan terutama dilakukan ketika Ramadan.
Menerusi video berkenaan, lelaki tersebut yang berpakaian wanita itu berjoget sambil memegang air selain membuat aksi seperti duyung di sebuah gerai menjual air balang.


