POLIS akan memanggil penceramah bebas Zamri Vinoth berkaitan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan, provokasi, bersifat menghina dan berunsur perkauman yang dibuat dalam video siaran langsung dalam aplikasi TikTok, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, penceramah itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada 8 Mac lepas.
“Kita perlu panggil beliau bagi membantu siasatan, kemungkinan dalam masa terdekat beliau akan hadir bagi memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi media malam ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Azizee memberitahu, polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan khianat terhadap kenderaan dipandu Zamri pada 7 Mac lepas.
Beliau berkata, sehingga kini enam lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 kanun sama berkaitan perbuatan khianat.


