Lelaki melecur, 27 kucing mati dalam kebakaran rumah

SEORANG lelaki melecur, manakala 27 ekor kucing miliknya mati apabila rumahnya di Kampung Padang Gaong, Langkawi terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, semua kucing berkenaan yang dipelihara di dalam sangkar di rumah terbabit ditemui mati, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 pagi.

“Susulan itu, lima jentera bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan Padang Matsirat dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.

“Komander Operasi melaporkan sebuah rumah setingkat kelas A berkeluasan tujuh meter lebar dan 10 meter panjang terbakar dengan kemusnahan ruang tamu dianggarkan 55 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an melecur kira-kira 30 peratus pada bahagian muka dan dada, manakala seorang wanita yang dipercayai pemilik rumah ditemui dalam keadaan pengsan.

“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 27 kucing yang berada dalam rumah ditemui mati, manakala tiga berjaya diselamatkan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.58 pagi sebelum anggota meneruskan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan air daripada jentera serta pili bomba berhampiran dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.52 pagi,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img