PEMILIK Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) yang terbakar pada 2017 memfailkan rayuan bagi membantah permohonan injunksi pembekuan wang derma yang difailkan 17 keluarga mangsa kebakaran itu.
Langkah itu dibuat susulan tindakan plaintif memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Februari lalu yang menolak tuntutan wang derma berkenaan.
Peguam Najib Zakaria yang mewakili pengetua DQI, Mohd Zahid Mahmood berkata, pendengaran kes berhubung permohonan itu ditetapkan pada 2 Jun depan.
Menurut Najib, pihaknya turut memfailkan rayuan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan implikasi undang-undang sekiranya rayuan plaintif dibenarkan oleh mahkamah.
Katanya, selepas kes ini dibuat keputusan oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Februari lalu, pihak plaintif memfailkan permohonan injuksi untuk pembekuan itu dikekalkan sehingga rayuan.
“Mahkamah Tinggi pada peringkat ini telah membenarkan injunksi tersebut secara interim dan pihak kami membantah terhadap permohonan tersebut.
“Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 2 Jun tahun ini, jadi perintah interim itu diberikan dan duit itu masih dibekukan sehingga 2 Jun depan,” katanya dalam sidang media di Pusat Tahfiz DQI di Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, proses rayuan berkenaan kini masih berjalan dan Mahkamah Tinggi turut membenarkan perintah injunksi secara interim bagi mengekalkan pembekuan akaun bank yang mengandungi wang derma berkenaan.
Najib berkata, dalam perintah injunksi itu, mahkamah turut membenarkan pihak DQI mengeluarkan sejumlah RM1.2 juta untuk pembiayaan tahfiz yang tertunggak.
“Secara keseluruhannya, wang tersebut memang tidak boleh digunakan sejak injunksi dikenakan kira-kira sembilan tahun lalu,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu menolak tuntutan plaintif terhadap ganti rugi trauma, kecederaan dan gangguan emosi serta tuntutan wang derma yang diperoleh pusat tahfiz itu daripada orang awam.
Seramai 17 anggota keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz DQI di Datuk Keramat dan 14 bekas pelajarnya selaku plaintif kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan wang derma berkenaan.


