KPDN pantau larangan jual minyak masak peket kepada warga asing

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan larangan penjualan serta pembelian minyak masak peket 1 kilogram kepada bukan warganegara dipatuhi di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pemantauan dilakukan termasuk melalui lawatan ke premis perniagaan bagi meninjau tahap pematuhan terhadap pelaksanaan larangan berkenaan.

“Hasil pemantauan mendapati urus niaga melibatkan minyak masak peket 1kg di premis berkenaan berada dalam keadaan terkawal dengan bekalan mencukupi.

“Notis larangan penjualan dan pembelian minyak masak bungkusan polibeg 1kg kepada bukan warganegara turut diserahkan kepada pihak pengurusan pasar raya sebagai peringatan berhubung pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

KPDN berkata, bagi tempoh bermula 1 Mac sehingga kini, sebanyak 13,564 pemeriksaan berkaitan larangan itu telah dijalankan di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kes direkodkan setakat ini, manakala hanya tujuh aduan diterima berhubung pelaksanaan larangan tersebut,”

“Di Sarawak sahaja, sebanyak 563 pemeriksaan telah dijalankan dalam tempoh sama bagi memastikan pematuhan terhadap larangan berkenaan, namun tiada kes direkodkan setakat ini,” katanya.

Pada masa sama, KPDN turut melaksanakan OPS Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac sebagai langkah proaktif kerajaan memantau bekalan serta harga barangan keperluan sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Sehingga 12 Mac lalu, sebanyak 52,375 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan harga barangan keperluan sentiasa terkawal,” tambah kenyataan itu lagi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img