CUBAAN seorang lelaki melarikan diri gagal apabila dia ditahan selepas bertindak melanggar kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Jalan Banting, Pandamaran, Klang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku sebaik anggota MPV terserempak kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota polis kemudian mengarahkan pemandu kereta terbabit untuk memberhentikan kenderaan.
Bagaimanapun katanya, suspek yang berusia 31 tahun bertindak melarikan diri sebelum MPV mengejarnya sejauh kira-kira 10 kilometer.
“Suspek bertindak agresif apabila melanggar kereta peronda polis di bahagian kiri sebelum dia berjaya ditangkap.
“Dalam cubaan melarikan diri, kenderaan suspek turut melanggar dua kereta lain. Suspek ditangkap mempunyai lima rekod jenayah lampau dan empat rekod dadah termasuk dua rekod dikehendaki polis,” katanya.
Lim berkata, hasil pemeriksaan kenderaan suspek turut menjumpai dua paket dipercayai dadah jenis Methamphetamine.
“Polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(s1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek ditahan reman bermula semalam sehingga 16 Mac depan,” katanya.


