Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menggesa Malaysia menarik balik reservasi terhadap Artikel IX Konvensyen Genosid 1948 serta segera memfailkan deklarasi intervensi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Pengerusinya, Azril Mohd Amin berkata, langkah itu penting bagi membolehkan Malaysia memainkan peranan lebih aktif dalam usaha antarabangsa menegakkan undang-undang dan memastikan akauntabiliti terhadap jenayah genosid.
Menurutnya, ICJ pada 12 Mac lalu mengumumkan bahawa Belanda dan Iceland telah memfailkan deklarasi intervensi dalam kes berkaitan permohonan di bawah Konvensyen mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid di Gaza.
“Langkah kedua-dua negara itu menambah bilangan negara yang tampil mempertahankan integriti konvensyen tersebut serta memastikan tafsirannya diperjelaskan oleh badan kehakiman tertinggi dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut CENTHRA, beberapa negara lain termasuk Colombia, Mexico, Sepanyol, Türkiye, Ireland dan Brazil turut memohon untuk mengambil bahagian dalam prosiding berkenaan.
Azril berkata, situasi di Gaza ketika ini menimbulkan persoalan serius berkaitan pelaksanaan konvensyen berkenaan serta tanggungjawab negara untuk mencegah dan menghukum jenayah genosid di bawah undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia yang menyertai konvensyen itu pada 1994 masih mengekalkan reservasi terhadap Artikel IX yang membolehkan pertikaian antara negara berkaitan tafsiran konvensyen dirujuk kepada ICJ.
“Dengan mengekalkan reservasi tersebut, Malaysia secara tidak langsung mengehadkan keupayaan konvensyen ini untuk berfungsi sebagai perlindungan undang-undang sejagat terhadap jenayah genosid,” katanya.
Tambahnya, penyertaan Malaysia melalui intervensi di ICJ bukan sahaja mampu memperkukuh tafsiran undang-undang konvensyen, malah meningkatkan tekanan diplomatik dan moral terhadap pihak yang terlibat supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau berkata, langkah itu juga akan mengukuhkan legitimasi ICJ sebagai forum utama penyelesaian pertikaian antarabangsa serta menunjukkan negara-negara Global South termasuk Malaysia bersedia memainkan peranan aktif dalam mempertahankan sistem undang-undang antarabangsa.
“Justeru, langkah menarik balik reservasi dan memfailkan intervensi di ICJ akan menjadi satu langkah yang berprinsip dan berimpak besar.
“Ia akan menunjukkan keyakinan penuh Malaysia terhadap sistem undang-undang antarabangsa serta menegaskan komitmen negara untuk memastikan penguatkuasaan sejagat Konvensyen Genosid,” ujarnya.


