BEKAS Hakim Besar Malaya dan wanita pertama yang memegang jawatan itu, Tan Sri Siti Norma Yaakob meninggal dunia di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital di ibu negara, petang tadi.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan anaknya Meor Amri Meor Ayob, 56, ketika dihubungi media.
Beliau berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.51 petang akibat pneumonia.
Dilahirkan pada 6 Julai 1940 di Seremban, Negeri Sembilan, Allahyarham Siti Norma mencatat pelbagai sejarah penting, termasuk menjadi wanita pertama negara yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan serta Ketua Hakim Malaya.
Beliau bersara pada tahun 2007 selepas menamatkan 43 tahun perkhidmatan cemerlang dalam bidang kehakiman.
Allahyarham juga merupakan hakim wanita pertama dari Malaysia yang dilantik menyertai Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) pada 2008.


