Lebih 400,00 kenderaan perdagangan belum pasang Peranti Had Kelajuan

TAHAP pematuhan penguatkuasaan Peranti Had Kelajuan (SLD) dalam kalangan pemilik dan pengendali kenderaan perdagangan masih berada pada tahap membimbangkan, apabila 85 peratus melibatkan jumlah 439,127 kenderaan yang diwajibkan memasang peranti itu masih belum berbuat demikian.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada keseluruhan 513,679 kenderaan perdagangan yang tertakluk kepada keperluan pemasangan SLD, sehingga 12 Mac lalu, hanya 74,552 kenderaan (15 peratus) sahaja telah memaklumkan pemasangan peranti berkenaan kepada JPJ.

“Jumlah tersebut melibatkan 495,827 kenderaan barangan yang berat maksimumnya melebihi 3,500 kilogram serta 17,852 buah bas yang mempunyai kapasiti membawa lebih 8 penumpang dengan berat maksimum melebihi 5,000 kilogram.

“Jadi bagi memperkukuhkan tahap pematuhan terhadap keperluan ini, JPJ telah melaksanakan ops khas penguatkuasaan SLD yang telahpun bermula mulai 1 Oktober hingga 12 Mac.

“Sepanjang tempoh operasi yang dijalankan, sebanyak 11,743 kenderaan perdagangan telah diperiksa dan 8,924 kenderaan dikenakan tindakan, termasuk 114 notis temusiah atas pelbagai kesalahan berkaitan pematuhan serta kefungsian peranti penghad kelajuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam dalam Ops Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya lagi, penguatkuasaan terhadap pematuhan SLD akan dipertingkat termasuk dalam operasi sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, dengan memberi fokus kepada pemeriksaan bas serta kenderaan perdagangan di jalan raya.

“Mana-mana kenderaan yang didapati tidak mempunyai sijil pengesahan pemasangan SLD atau gagal mematuhi keperluan tersebut akan dikenakan notis temusiah dan diarahkan untuk memasang peranti berkenaan sebelum terus beroperasi,” katanya.

Jelasnya, pemasangan SLD pada bas telah diwajibkan sejak tahun 2020, khususnya bagi kenderaan keluaran tahun tersebut dan ke atas.

“Pelaksanaan keperluan SLD melibatkan tiga kategori utama iaitu kenderaan yang perlu membuat pengesahan dan pengaktifan SLD, kenderaan yang mempunyai sistem ECU tetapi belum dipasang SLD, serta kenderaan lama yang perlu menjalani pemasangan secara retrofit.

“Jadi tiga kategori ini telah ada tempoh yang ditetapkan pemasangan sebelum disahkan dan akan dimasukkan ke dalam sistem JPJ,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img