BAYI berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, dekat Bukit Mertajam dipercayai maut akibat asfiksia.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail, berkata punca kematian itu ditentukan menerusi pemeriksaan perubatan oleh doktor yang menjurus ke aras asfiksia.
Asfiksia adalah keadaan perubatan kecemasan di mana badan kekurangan oksigen secara serius akibat gangguan pernafasan, menyebabkan sesak nafas, kehilangan kesedaran, kerosakan otak atau kematian.
Azizee berkata, kertas siasatan kes itu kini masih dalam proses dilengkapkan.
“Kami berjaya mendapatkan perintah reman lanjutan terhadap dua pengasuh yang ditahan sejurus selepas kejadian bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pada program Op Selamat 2026 peringkat negeri sempena sambutan Aidilfitri di Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, lapor Berita Harian.
Bayi itu, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di pusat jagaan 24 jam itu sebelum dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital itu kira-kira jam 4 pagi, 9 Mac lalu.
Pada Isnin, polis mendapatkan perintah reman lanjutan selama tujuh hari terhadap dua pekerja pusat jagaan kanak-kanak yang ditahan berhubung kematian tersebut.
Perintah lanjutan itu diberikan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis membuka kertas siasatan kes bunuh berhubung kematian bayi itu.
Keluarga bayi berkenaan kini menuntut keadilan atas kejadian itu.


