Ops HRA: 430 kenderaan diambil tindakan, enam disita di Melaka

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengambil tindakan terhadap 430 kenderaan selain menyita enam yang lain dalam tempoh dua hari pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 bermula Isnin lalu.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 6,446 kenderaan diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya menjelang musim perayaan.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, motosikal mencatat jumlah tertinggi pengeluaran Notis Saman JPJ P22, iaitu sebanyak 409 notis, diikuti motokar (306), kenderaan barangan (176), bas persiaran (15) dan lain-lain kenderaan termasuk teksi serta e-hailing (3).

Pelbagai tindakan penguatkuasaan termasuk Notis Arah Periksa Seksyen 61(1), Notis Temu Siasat Seksyen 114, Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1), Notis Arah Timbang Seksyen 63(1) serta notis di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut dikeluarkan.

“Ia menjadikan keseluruhan sebanyak 1,058 notis dikeluarkan dalam tempoh dua hari Ops HRA 2026 dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan HRA 2026 di Terminal Melaka Sentral, hari ini, lapor Berita Harian.

Siti Zarina berkata, operasi HRA 2026 dilaksanakan selama 13 hari sepanjang 16 hingga 29 Mac ini, tidak termasuk cuti umum Aidilfitri pada 1 Syawal.

“Ia melibatkan 105 pegawai dan anggota penguat kuasa di negeri ini dengan fokus kepada pematuhan undang-undang jalan raya dan pengurangan kadar kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan praoperasi turut memberikan tumpuan kepada pemeriksaan dan audit keselamatan di depoh bas ekspres, dengan 39 bas diperiksa di empat depoh di negeri ini dan 34 menerima slip pemeriksaan.

“Baki lima bas tidak menerima slip kerana sedang menjalani penyelenggaraan, manakala di Terminal Melaka Sentral pula, sebanyak 147 bas diperiksa dengan 45 daripadanya menerima slip pemeriksaan.

“Sebuah bas turut diambil tindakan kerana tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi empat jam atau 300 kilometer secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, operasi penyamaran sebagai penumpang turut dilaksanakan melibatkan laluan ke utara dan selatan bagi mengesan kesalahan pemandu bas.

“Setakat ini, satu notis JPJ P22 telah dikeluarkan atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu bagi perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru.

“Selain itu, satu notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 224 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 turut dikeluarkan kerana kesalahan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan bagi perjalanan dari KLIA2 ke Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut bekerjasama menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas, dengan 85 pemandu telah diuji dan kesemuanya didapati negatif.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img